SamCity Backgrounds
} .profile-data { margin:0; text-transform:uppercase; letter-spacing:.1em; font: normal normal 78% 'Trebuchet MS', Trebuchet, Arial, Verdana, Sans-serif; color: #777744; font-weight: bold; line-height: 1.6em; } .profile-datablock { margin:.5em 0 .5em; } .profile-textblock { margin: 0.5em 0; line-height: 1.6em; } .profile-link { font: normal normal 78% 'Trebuchet MS', Trebuchet, Arial, Verdana, Sans-serif; text-transform: uppercase; letter-spacing: .1em; } /* Footer ----------------------------------------------- */ #footer { width:660px; clear:both; margin:0 auto; padding-top:15px; line-height: 1.6em; text-transform:uppercase; letter-spacing:.1em; text-align: center; } -->

Saturday, August 9, 2008

RELEVANKAH AKU DI HATIMU

Hari ini genap sebulan aku menjadi suami kepada kekasih hatiku. Kadang-kadang rasa lucu juga memikirkan jodohku berakhir dengan teman sekolahku itu. Nurul Akasyah... dalam ramai gadis yang kutemui, rupanya dia sahaja yang berbekas di hati. Sedangkan memang tidak pernah terlintas pun semua ini akan terjadi. Jelaslah segala ketetapan hidup berada di tangan Tuhan Yang Maha Esa dan manusia hanya mampu merancang. Takdir menentukan kami akan melayar bahtera perkahwinan ini bersama-sama. Aku rela dengan ketentuan ini.

Walaupun suatu ketika dahulu aku hampir sahaja mahu bertunang dengan Nur Jannatul Adnain, namun begitu ajal menjemput dia terlebih dahulu. Sedih memang sedih. Mujur waktu itu perasaan cinta sahaja ingin bertunas, kalau tidak mungkin sukar juga dengan menerima kehadiran cinta yang baru. Kemudian mama melobi adik kembar seiras kepada Nur Jannatul Adnain iaitu Nur Jannatul Ma'wa sebagai calon isteri solehah, tetapi aku pula yang menolak. Bukannya sebab dia tidak memenuhi kriteria pilihan hati, cuma waktu itu aku belum bersedia menerima dia dalam hidup aku. Terikat pada situasi yang menghendakkan aku menepikan soal hati dan perasaan.

Aku melirik pada Akasyah yang sedang menguap untuk kali ke berapa. Matanya makin mengecil dari semasa ke semasa. Sambil mencuci pinggan, sempat dia menyanyi kecil. Tidak pasti lagu apa. Yang kulihat dari tadi mulutnya itu asyik berkumat-kamit. Berzikir agaknya, aku cuba fikir yang baik-baik tentang dia. Sejak menjadi suami kepada Nurul Akasyah, aku mempunyai satu hobi baru - memerhatikan tingkah lakunya dari jauh. Dalam satu minit aku boleh lihat seribu satu jenis mimik muka dari dia. Memang mencuit hati.

"Pergilah naik tidur. Nampak mengantuk sangat tu." Kataku sambil menutup perlahan peti sejuk dua pintu warna biru tua yang mengisi ruang dapur rumah kami ini. Menyimpan baki lauk makan malam sebentar tadi.

"Sungguh?" Soalnya seperti teragak-agak dengan cadanganku.

Mana pernah dia tidur dahulu tanpa aku. Segala perkara di dalam rumah ini kami akan lakukan bersama-sama. Dan biasanya aku akan bacakan kisah sirah ringkas kepadanya sebelum tidur. Akasyah suka benar mendengarnya. Malam ini terpaksa diberi pengecualian. Aku mengangguk, memberi izin. Kasihan pula melihat dia yang sudah tidak bermaya. Nampaknya aku akan keseorangan malam ini.

"Ada kerja perlu beres malam ni?"

Dia menggeleng lalu mengambil tempat di sisiku.

"Aduh... dah lembik sangat ni." Usikku apabila dia melentokkan kepalanya ke bahuku. Jarang dia mahu bermanja denganku selagi tidak dipinta. "Ini mesti nak suruh dukung sampai atas katil..."

Belum sempat aku menghabiskan kata-kata, sepantas kilat dia menjauhkan dirinya daripada aku dengan wajah tersipu-sipu malunya itu. Aku pura-pura mendekatinya dan beraksi seperti mahu mencempungnya. Cepat-cepat Akasyah berlari ke arah lain. Syah, Syah... sampai sekarang masih mahu malu-malu. Macamlah aku ini orang lain sahaja.

"Tak apalah. Larat lagi jalan sendiri. Oyasumi..." Katanya lalu mengucup kedua-dua belah pipiku. Tiba-tiba sahaja dia jadi segar-bugar dan kuat. Walhal tadi sudah lemah satu macam. Dia berlari-lari anak menuju tangga untuk ke kamar utama di tingkat atas. Sempat dia menoleh lalu berkata...

"Adam, nanti..."

"Adam??" Aku menjegilkan mata sebesar-besarnya.

"Oppss!!" Dia terus menekup mulut.

"Adam sayang... i mean... sayang... darling," Ucapnya dalam kekalutan. Mungkin bersalah kerana selalu sangat terbabas memanggil aku dengan nama "Adam" ataupun "Kaduk", walaupun sudah berkali-kali diingatkan.

Susah agaknya dia nak biasakan diri. Habis semuanya terkeluar. Aku sudah mahu ketawa. Pura-pura berwajah serius.

"Nanti tolong gerakkan bangun tahajud macam biasa."

Aku diam, tidak membalas.

"Jangan lupa ya, sayang." Katanya lagi dengan menekankan perkataan sayang. Cuba menutup kesalahannya tadi.

"Pernahkah sayang lupa selama ni?" Soal aku lembut. "Lagipun dah tak perlu missed call dan bagi mesej macam dulu lagi. Kalau goncang tak bangun-bangun, boleh jirus dengan air aja kan." Kataku lagi sambil mengenyitkan mata.

Dia ketawa. Aku suka lihat wajahnya dalam keadaan gembira begitu. Matanya bersinar-sinar seperti disimbah cahaya. Tanpa membalas kata-kataku, dia meminta diri ke tingkat atas. Aku tersenyum sendiri memikirkan isteriku yang malu-malu kucing itu. Syah, Syah... sampai bila agaknya mahu main lari-lari dengan aku. Baru hendak tunjukkan sedikit rasa kasih sayang, dia pula tak mahu dan segan bukan main.

Ah! Sunyi betul, getus hati kecilku.

Sejak bertukar status ini, aku pantang sahaja keseorangan. Mulalah kesunyian mencengkam diri. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja berkepit dengan Akasyah dua puluh empat jam. Lagak seperti pasangan baru mengenal cinta. Ya lah, kami bercinta selepas berkahwin. Semasa bertunang dahulu pun, kami sama-sama telah berjanji untuk menjaga batas pergaulan. Aku sendiri berusaha sedaya upaya menahan diri daripada ditarik-tarik supaya mendekati gadis pujaan hatiku itu. Kadangkala rasa bersalah juga memikirkan tindakan aku menjauhkan diri daripadanya dahulu.

Aku beralih ke ruang rehat. Televisyen dipasang. Aku melabuhkan punggung di atas sofa warna hijau serai. Aku baru sahaja hendak mengajaknya dia temankan aku menonton televisyen bersama-sama. Melihat perkembangan yang berlaku di dalam dan luar negeri. Alih-alih dia mahu beradu pula. Tak apalah. Dia kan penat mahu berehat. Aku memerhatikan langkah longlai Akasyah memanjat tangga ke kamar utama di tingkat atas, tidak sampai hati pula mahu menahannya.

Lagi-lagi berita tentang penindasan umat Islam dipaparkan. Aku jadi hiba. Islam yang bermula dari keadaan asing dan kembali menjadi terasing. Benarlah seperti yang diriwayatkan dalam satu hadis.

Dari Tsauban r.a, katanya Rasulullah saw pernah bersabda: "Hampir tiba satu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang mengerumuni hidangan." Lalu sahabat bertanya, "Apakah ketika itu bilangan kami kecil, ya Rasulullah?" Jawab Rasullah saw, "Tidak. Bahkan ketika itu bilangan kamu ramai namun cuma umpama buih-buih di lautan. Allah swt akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah swt akan mencampakkan penyakit wahn ke dalam hati-hati kamu." Lalu sahabat bertanya, "Apakah penyakit wahn itu wahai Rasulullah." Kata Rasulullah saw, "Iaitu cintakan dunia dan takut mati."

Ya Allah... memang benar musuh-musuh Islam telah dicabut darinya rasa hormat pada pengikut Muhammad saw ini. Saudara seagama kami diperlakukan seperti binatang. Dibunuh sesuka hati. Segala tragedi yang menimpa sekarang mungkin atas sebab kita sendiri sudah terpesong jauh dari pegangan Islam. Islam hanya tinggal nama. Ya Allah, mungkinkah Kau sedang menghancurkan mereka yang tidak cinta padaMu?

Sepertimana yang terlaku pada kaum-kaum yang terdahulu, Allah menghapuskan kaum yang engkar pada muka bumi ini seperti dalam firmannya: "Wahai orang-orang beriman, sesiapa di antara kamu yang berpaling dari agamanya, maka kelak Allah mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela, yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah diberikanNya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui." (al-Maidah:54)

Nauzubillah... moga-moga aku dan kaum keluargaku dijauhkan dari fitnah akhir zaman ini dan termasuk dalam golongan mereka yang berpegang teguh pada Deen-Mu. Amin ya rabb.

Warta berita tiga puluh minit berakhir sudah. Aku mematikan siarannya. Tiada apa lagi yang ingin ditonton. Lagipun terlalu banyak hiburan yang dipaparkan sehinggakan aku naik risau mengenangkan nasib anak-anak aku nanti. Dalam ledakan hiburan tanpa sempadan ini, suatu cabaran besar bagi ibu bapa mahu mendidik anak-anak supaya menjadi soleh dan solehah. Dugaan dan godaan dari luar terlalu kuat.

Aku membelai ubun-ubun isteriku yang sedang nyenyak tidur. Penat sangat agaknya. Aku memerhatikan nafasnya yang teratur. Susah juga rupanya kalau berkahwin dengan kawan baik kita sendiri. Kadangkala aku terpaksa menyuruh Syah bermanja-manja dengan diriku. Dia tu, malunya bukan main. Tetapi kesalahan tidak patut disandarkan pada dia semata-mata kerana aku juga memainkan peranan besar dalam mengusik setiap kali dia cuba memanjakan dirinya padaku.

Mataku tidak lepas memerhatikan wajahnya yang kelihatan comel seperti seorang bayi. Dia tersenyum tiba-tiba. Mimpikan aku agaknya.

Aku menarik nafas panjang. Akasyah, tak sampai satu jam aku sudah rindukan dia. Cepatlah hari siang. Abang rindukan gelak tawamu, sayang.

No comments: